Hukum menggunakan wangian (perfume) beralkhohol








Soalan
Apakah hukum menggunakan wangian (perfume) beralkhohol?

Jawapan
Alkohol ada yang datang daripada arak dan ada yang bukan. Setiap arak mengandungi alkohol, namun tidak semua alkohol itu adalah arak. Oleh hal yang demikian, alkohol yang terdapat di dalam wangian; jika ia bukan datang daripada arak atau daripada proses pembuatan arak, tidaklah najis dan harus dipakai termasuk ketika solat. 

Jika datang daripada arak, hukumnya adalah najis. Hal ini arak itu sendiri adalah najis menurut jumhur ulamak (1). Syeikh Dr 'Ali Jumaah Muhammad menegaskan di dalam fatwanya; "Alkohol yang digunakan sebagai bahan dalam wangian, jika daripada jenis alkohol ethanol, adalah arak dan penggunaannya dalam wangian menyebabkan wangian itu menjadi najis dan tidak harus digunakan mengikut Syariat berdasarkan pandangan jumhur ulamak (yang berpandangan arak adalah najis)".

Rujukan;

1. Fatwa Syeikh 'Atiyah Saqar (Himpunan Fatwa Dar al-Ifta', Mesir, 8/413)
2. Fatwa Syeikh Dr. 'Ali Jum'ah Muhammad (www.dar-alifta.org)
3. Fatwa Majlis Fatwa Kebangsaan (www.e-fatwa.gov.my).

Nota;

(1) Menurut jumhur ulama termasuk imam-imam mazhab empat; arak adalah najis kerana Allah mengharamkan memakannya kerana zatnya, maka arak adalah najis sama seperti daging babi, bangkai dan sebagainya lagi yang haram dimakan. Selain itu, mereka juga berdalilkan firman Allah (bermaksud);“Wahai orang-orang beriman! Sesungguhnya arak, judi, pemujaan berhala, mengundi nasib dengan batang-batang anak panah, (semuanya) adalah rijs (kotor/keji) daripada perbuatan syaitan. Oleh itu hendaklah kamu menjauhinya supaya kamu berjaya”. (al-Maidah; 90)

Segelintir ulama – seperti Imam ar-Rabi’ah (guru Imam Malik), al-Laith bin Sa’ad, Imam al-Muzani (tokoh ulama dalam mazhab Syafiie), Daud az-Zahiri, as-Syaukani, Imam as-Son’ani, Rasyid Redha - berpandangan; arak tidak najis kerana tidak ada dalil daripada Syarak yang menegaskan kenajisannya. 

Walaupun haram diminum, namun tidak semua benda yang haram dimakan atau diminum secara automatik dapat dihukum sebagai najis. Setiap najis adalah haram dimakan, namun tidak semua yang haram dimakan adalah najis. Ganja, dadah dan racun-racun/bias-bisa yang boleh membunuh semua itu haram dimakan, namun pada masa yang sama adalah suci (tidak najis). 

Sesuatu itu dapat dianggap najis jika ada nas yang menegaskan adalah najis. Jika tidak ada nas, kekal di atas hukum asalnya iaitu suci. Tidak ada nas yang menegaskan arak adalah najis. Adapun ayat di atas, perkataan “رجس” (kotor/keji) di dalam ayat tersebut bukan bermaksud najis hissi (yakni najis yang dapat dilihat atau dirasai yang menjadi perbahasan kita), akan tetapi ia bermaksud najis maknawi (yakni kekotoran batin) iaitulah dosa dan munkar. 

Hal ini kerana perkataan “رجس” (kotor/keji) itu bukan sahaja ditujukan kepada arak, tetapi juga ditujukan kepada judi, berhala dan anak-anak panah (untuk mengundi nasib). Benda-benda selain arak itu (yakni judi, berhala dan anak-anak panah) jika kita memegangnya tidak ada ulama yang berkata kita memegang najis. Hal ini menunjukkan bahawa kekotoran yang dimaksudkan oleh ayat tersebut bukanlah kekotoran hissi, akan tetapi kekotoran maknawi. 
(Rujuk; Tafsir al-Qurthubi, surah al-Maidah, ayat 90).

http://ilmudanulamak.blogspot.com

3 comments:

  1. mselim3 said...:

    Assalammualikum....saya datang baca pasal artikel hukum pakai perfume beralkohol , minta izin nak copy....

    Jadi sebenarnya boleh x kita pakai minyak wangi beralkohol masa solat?
    sebab saya tanya ustaz, ada kata boleh ada kata tidak...jd mana satu,
    sebab tu saya mintak izin copy nak tanya ustaz...

  1. mselim3 said...:

    kalu saudara ada pandangan pun saya nak tahu gak....xper kita kongsi2 ilmu...sharing is caring, k

  1. waalaikummussalam..silakan :)...pandangan saya boleh jika alkohol tidak datang dari sumber yg berkaitan dengan arak...arak ni memang jelas pengharamannya...sebab tu kalau bersumberkan arak kita tak boleh pakai..tapi alkohol ni ia diharamkan sebab membahayakan kesihatan jika terlalu banyak...klu setakat pakai perfume rasanya tidak membahayakan kita...jadi boleh pakai :)...kalau tak betul pandangan saya ni saudara sila betulkan..

Post a Comment

Hye...jangan lupa tinggalkan komen anda disini :)